Friday, December 5, 2008

Hikmah Kembaraku

Saya meneruskan agenda cuti ini dengan menziarahi kakak di Penang. Saya tiba di sana dalam pukul 10.30 malam. Bersendirian lagi kali ini. Begitulah saya. Alangkah bahagianya jika ada teman seperjalanan. Apa yang menarik perhatian saya ialah saat menunggu kakak menjemput, saya memerhatikan dua orang pengembara seperti saya juga. Walaupun saya tidak pasti jantina mereka, namun mereka berbangsa Cina. Kebosanan menunggu membuat saya mencuri-curi pandang tindak tanduk mereka. Sepi tanpa perbualan antara keduanya. Hanya tangan medium berinteraksi. Keduanya sempurna fizikalnya.

Tiba-tiba saya didekati oleh seorang daripadanya. Dia bertanyakan adakah ini tempat yang sebenar iaitu Plaza Tol Juru. Nampaknya perhentian kami serupa. Dia hanya menggunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi dengan saya. Mesej yang ditulis jelas menunjukkan dia sememangnya baru menjejakkan kaki ke Penang. Dia dari Johor Bahru manakala kawannya itu dari Singapura. Saya hanya menganggukkan kepala sebagai menjawab pertanyaannya.

Apa yang buat saya terfikir semula betapa bersopan santun wanita ini walaupun dia tak mampu berbicara lisan seperti saya. Setelah saya menjawab soalannya dia menaip sekali lagi. Dia mengucapkan terima kasih kepada saya. Dia menekankan penghargaan itu lantaran dia menunjukkannya dua kali pada ucapan "thank you". Betapa sopannya dia dan menghargai pertolongan orang walaupun kecil. Saya sendiri lupa akan ucapan itu, lupa bahawa nikmat yang diberi Allah harus disyukuri. Kadang-kadang rasa berat untuk mengungkapkannnya..

Itulah pelajaran dari satu malam..

Program Tersendiri

(Catatan ini sebenarnya telah lama ditulis namun tidak dapat disiarkan ke blog lebih awal)

Sekarang saya sedang bercuti semester empat di rumah. Saya baru sahaja pulang ke rumah kelmarin selepas sebulan berjalan-jalan sejurus tamatnya peperiksaan akhir. Malam tamatnya kertas terakhir, Asas Pengurusan Kualiti saya mengikuti rombongan Unit Kaunseling dan Pembangunan Sahsiah ke Kelantan dan Terengganu selama tiga hari.

Saya amat seronok kerana ini pengalaman pertama menjejakkan kaki ke Kelantan yang mendapat jolokan Serambi Mekah. Saya melihat satu suasana baru yang cukup berbeza dari negeri kelahiran saya. Pertama kali melihat banyak papan iklan yang bertulisan jawi dan model iklan yang bertudung termasuklah Maya Karin terpampang di papan iklan yang besar. Satu perkara yang boleh dicontohi; memartabatkan bahasa Melayu. Bukan semua orang tahu membaca jawi sekarang. Saya ingin selitkan sedikit pengalaman yang saya perolehi di Madrasah an-Nahdhoh, Penang. Kepentingan tulisan jawi bukan sesuatu yang harus dipandang enteng. Kitab-kitab lama yang diterjemahkan oleh ulamak dahulu kala seperti Sheikh Daud al-Pattani ditulis jawi. Jadi, apabila kita ingin membacanya juga bukan sesuatu yang mudah jika tidak tahu membaca tulisan jawi.

Sambung semula, suasana Pasar Siti Khadijah yang kebanyakan penjualnya wanita memberi satu suasana baru pada saya. Sempat juga saya membeli beberapa helai kain batik, tudung dan sedikit makanan yang dijual dengan harga yang murah. Seronok berada di situ! Sambil membeli saya menangkap suara penceramah wanita berloghat kelantan seperti di radio. Kata penjual di situ, ceramah tersebut diperdengarkan sementara menunggu waktu solat berkumandang. Banyak ingin saya coretkan namun cukuplah sekadar ini sahaja buat masa ini.

Seterusnya perjalanan diteruskan ke Terengganu Darul Iman. Lawatan rasmi kami ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menarik juga. UMT adalah satu universiti yang tidak berapa besar dan pelajarnya juga tidak begitu ramai. Namun saya suka sekali melihat suasana kampus yang rekabentuknya moden. Dewan utamanya juga seolah-olah seperti seekor penyu jika dilihat dari sudut atas. Pengalaman yang saya ditinggalkan sehelai sepinggang oleh kawan-kawan sehinggakan saya merajuk juga menjadi kenangan. Saya enggan merakamkan gambar kenangan di sana walaupun suasananya begitu memikat hati saya tanda kecewa pada mereka. Panik juga mereka melihat saya hilang seketika dan tidak dapat dihubungi. Di Terengganu juga kami sempat singgah di masjid Universiti Darul Iman untuk menunaikan solat. Selepas itu, kami ke Kuala Terengganu dan melawat Taman Tamadun Islam (TTI). Taman ini baru dilancarkan pada tahun ini juga. Oleh itu, saya sangat teruja melihat replika masjid-masjid yang pelbagai bentuk dari pelbagai negara. Namun, taman ini tidak siap sepenuhnya lagi. Yang menyedihkan di sini ialah kamera kami kehabisan bateri sewaktu sedang asyik merakamkan gambar di Masjid Kristal yang begitu indah dan membuatkan hati saya terpegun akan kecantikannya. Masjid ini berwarna emas dan hitam serta berkilat. Kawasan pulau sekitarnya memang menyamankan. Melihat air yang tenang sepanjang laluan pejalan kaki ditemani binaan yang pelbagai senibinanya membuatkan saya kagum akan keseniannya. Pada hari lawatan kami itu juga merupakan hari terakhir taman itu dibuka secara percuma. Sedih juga tak sempat melihat dangan puas kawasan taman itu. Menurut kawan saya, dalam taman itu terdapat binaan seperti Dome Rock di Palestin, Masjid Nabawi di Madinah, Taj Mahal di India dan lain – lain lagi. Saya tidak dapat mengingati yang lain kerana hanya memandang dari luar sahaja. Selain itu, turut dipasang bacaan azan dan ayat suci al-Quran di setiap binaan itu. Bila difikirkan semula, rasa menyesal juga tidak menyempatkan diri meronda-ronda sekitar taman itu. Tak mengapalah..

Di Pasar Payang saya sudah mengingatkan diri awal-awal supaya tidak perlu membeli bukan-bukan berikutan saya telah banyak berbelanja di Kelantan. Akhirnya saya membeli sehelai baju T untuk adik saya dan berkongsi duit membeli durian. Kami makan di tepi jeti beramai-ramai kerana ada yang teringin menikmati raja buah itu. Angin dari laut yang sepoi-sepoi bahasa dengan kapal-kapal yang belayar membuatkan saya ingin menelefon seseorang berkongsi kegembiraan dan kedamaian yang dirasai. Saya pernah berada di tempat ini suatu ketika dahulu bersama ayah. Jadi, suasana itu tidak banyak bezanya. Cuma saya sukakan pemandangan pantai dan laut kerana pandangan saya menjadi sangat luas terbentang seolah tiada sempadan. Subhanallah..cantiknya alam ciptaan Allah!

Malam itu juga kami bertolak pulang ke Nilai, Negeri Sembilan. Kami tiba di Nilai seawal 8 pagi. Saya mula merancang perjalanan seterusnya. Kali ini saya akan kembara seorang diri ke tempat yang belum pernah saya pergi. Nun di utara sana, Pulau Pinang. Mujurlah saya mempunyai sahabat yang merupakan anak jati sana. Jadi, perjalanan menjadi lebih mudah terutamanya dalam soal bas yang akan dinaiki. Saya berdoa pada Allah agar perjalanan ini dalam lindunganNya. Saya tidak boleh tidur lena dalam bas takut-takut kalau saya terlepas tempat perhentian yang dipesan oleh kakak. Saya benar-benar menikmati percutian kali ini. Akhirnya dengan pertolongan penumpang sebelah saya tiba di Plaza Tol Juru. Turun dari bas, saya mengucapkan syukur dan memberi ucapan selamat datang kepada diri sendiri, ”Selamat datang ke Penang, Atthiah!”.

Saya ingin menamatkan catatan perjalanan saya di sini. Percutian di Penang memberi lebih banyak kenangan manis dan lebih panjang jadinya catatan ini andai diteruskan niat suci ini..

Akhir kalam, jauh berjalan luas pemandangan. Bila terasa luas pemandangan terasa kerdilnya di bumi tuhan. Sekecil mana pun kita di atas muka bumi, tetap tak terlepas dari pandangan Allah. Setiap perjalanan akan tiba di destinasinya. Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada-Nya jua kita kembali. Semoga ada kesudahan yang baik.

Art, 18:31, 19 Jun 08

Aku, Kamu dan Sekolah (Siri 2)

::Bahagian 3::

Minggu peperiksaan menjelma semula, tanpa ku sedari semester lima di universiti berlalu dengan begitu pantas. Belum cukup lagiku menghadam segala ilmu yang diajar oleh para pensyarah, peperiksaan pun kembali semula. Kesibukan menghadapi imtihan akhir semester ini aku terkenang suatu cerita yang terhenti seketika. Teringat permintaan sahabatku yang berharap aku menyambung kembali coretan dulu. Alhamdulillah, dalam kelapangan waktu ini, aku ingin mengisi dengan sesuatu buat mereka walaupun ini hanyalah cebisan dari kenanganku di bumi SMAKJ. Bahagian 2- Aku, Kamu dan Sekolah ini aku dedikasikan buat mereka yang menanti khususnya dan anda yang membacanya. Terima kasih memberi sokongan kepadaku, siapa tahu dengan sokongan kalian, aku mampu mengorak langkah jauh ke bidang penulisan.

::Tingkatan 2 (2001)::

Jika dahulu aku ditempatkan di kelas 1 Ibnu Qayyim yang terdiri daripada pelajar muslimat sahaja tapi tahun ini sebaliknya. 1 Ibnu Taimiyah membuka lembaran baru buatku tahun ini. Pertama kali mempunyai rakan sekelas di kalangan muslimin menimbulkan 1001 perasaan padaku. Bukan tidak pernah, setahun bersama rakan sekelas muslimat membuatkan pergaulanku dengan muslimin cukup terhad. Di sekolah agama pun, kami tidak begitu bertegur sapa. Mereka pun bukan mengenali kami, silap –silap walaupun setahun sekelas, nama pun tidak diketahui!

Pada awalnya terasa kekok bila sekelas apatah lagi untuk berbicara dengan pelajar muslimin. Masing-masing malu untuk bertegur sapa tanpa sebarang urusan. Berbual kosong pun antara sesama kaum sejenis. Itulah biah yang tercipta.

Saat yang menambah ketidakselesaan ku apabila guru meminta aku ke depan. Susunan kerusi dan meja di kelas menjadikan perasaan kurang selesa itu berganda. Apa agaknya yang aku fikirkan sebenarnya sehingga begitu sekali jadinya? Menyusun kedudukan pelajar seperti saf dalam jemaah ada pro dan kontranya. Kawasan belakang kelas merupakan jajahan’ pelajar muslimat. Namun terasa berat apabila perlu ke hadapan kelas dengan melalui ruang antara meja pelajar muslimin. Rasa tidak selesa mungkin kerana ”personal space” terganggu. Hanya perasaanku mungkin! Padahal itu mungkin tidak mendatangkan apa-apa masalah pada mereka pun.

Setelah beberapa lama kami bersama, kerjasama mulai terbentuk. Organisasi kelas menyatukan kami sebagai satu unit. Menghias kelas dilakukan bersama-sama. Kelas yang kosong dan bisu menjadi bertambah ceria dan keselesaan mulai menjalar dalam diri. Seronok belajar bersama, mendengar pengajaran guru penuh tekun tiba-tiba suasana menjadi hingar dengan lawak jenaka mereka. Kadangkala dimarahi guru bersama dan didenda mengurangkan jurang antara kami. Malu juga sebenarnya didenda!

Subjek saraf selalunya kelas yang ’ditunggu-tunggu’! Ingat lagi pada Ustazah Suriani Komeng? Seorang yang tegas mengajar tidak kira apa subjek pun, jangan dicabar kalau tidak mahu ’hadiah’ daripadanya. Ketegasan beliau membuatkan kami selalu bersiap-sedia dan mengantuk bagaimana pun tetap ditahan. Namun, masih ada juga yang berani bermain api, walaupun mungkin akan terbakar. Iqbal itulah dia. Jarang melihat matanya terbuka luas saat guru mengajar dari awal hingga akhir walaupun Ustazah Suriani di depannya. Pernah Ustazah Suriani mengotakan kata-katanya untuk menyembur air sekiranya ada sesiapa yang tidur. Iqbal lah mangsanya. Aku tak sangka Ustazah Suriani akan melakukannya. Rasa malu jika akulah insan yang ’terpilih’ tu! Iqbal tetap ada keistimewaan sendiri. Pernah juga kami menggelarnya Imam Syafie. Sungguhpun mengantuk, tiba-tiba soalan kilat ditanya padanya dia dapat menjawabnya dengan betul. Dialah yang disembur air dan dia jugalah dibelanja ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) kerana perangai berani mati tidur dalam kelas. Kerapkali dia akan tersengih-sengih, entahlah mengapa!

Itulah ragam kami di tingkatan 2 Ibnu Taimiyah..
Selangkah kami mendaki ke tahap yang lebih tinggi..adik-adik junior mula menghormati kami sebagai abang dan kakak. Cuma pelajar lelaki mereka tidaklah seperti kami yang perempuan, panggilan kakak seakan wajib walaupun antara kami hanya berjarak setahun.

Nukilanku terhenti di sini, banyak perkara yang ingin perkatakan ku lagi.. kehidupan aspuri, kerenah adik-adik junior, kawad kaki dari Encik Amin, malam jamuan aspuri, munculnya KEMBARA dan ada lagi beberapa ingatan yang tersimpan kemas dalam kotak memoriku. Namun mungkin cukup sampai di sini kerana ku tahu ada yang menanti sambunganku.

Nukilan terpelihara,
Atthiah©
10 Zulkaedah 1429H

Thursday, December 4, 2008

Aku, Kamu dan Sekolah

::Bahagian 1::

Rumahku dilanda air bah sekali lagi. 5 Syawal 1429H sekali lagi air sungai melimpah ruah dan rumahku dimasuki air dengan begitu pantas. Alhamdulillah, banjir surut akhirnya pada malam itu juga walaupun paras air mencecah pinggang. Sudah lama aku tidak mengalami situasi begini lantaran aku berada di Nilai, Negeri Sembilan meneruskan pengajian tinggiku. Semalam aku kembali teringat album peribadiku. Masih elok lagikah? Soal ku di dalam hati. Ibu menyimpan albumku di para yang tinggi kerana takut kemungkinan rosak sekali lagi kerana air bah. Pernah dulu album itu terkena air. Aku sedih mengenangkan gambar-gambar yang rosak teruk, gambar bersama ibu, kawan-kawan ada yang telah rosak, ada yang terkena air di sisinya. Itulah akibat banjir yang saban tahun melanda kampungku.

Bukan soal banjir yang ingin aku ceritakan. Aku kembali membelek gambar-gambar di album ku, menatap satu persatu gambar. Ada yang masih elok, ada yang telah kembang warnanya dan ada yang perlu ku gunting kerana sayang untuk dibuang. Satu halaman ke satu halaman, kenangan lalu mula tersingkap. Bermula dari gambar keluarga hinggalah teman-teman persekolahan. Bagaikan kembali ke zaman sekolah tatkala menatap gambar-gambar itu. Terkenang gelak tawa rakan seperjuangan, kisah duka, tentang si dia, kenakalan rakan-rakan lelaki, minggu orientasi, hari guru, hari sukan, kursus haji, kursus di Sedili, ahh..terlalu banyak untuk disingkap..sememangnya lima tahun di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang (SMAKJ) menyimpan macam-macam perkara yang mendewasakan aku. Pada usia 21 begini, baru aku sedari aku adalah acuan SMAKJ. Teori yang ku pelajari mengatakan genetik dan persekitaran boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang.

Di SMAKJ aku mempelajari pelbagai perkara. Dari soal disiplin, kerohanian, akademik, sosial dan akhlak. Bila telah menjejaki menara gading, aku kembali menoleh ke belakang. Ye, aku dari SMAKJ! Dari situlah aku berpeluang menjejakkan kaki ke universiti. Di universitilah aku mendapat kebebasan yang tidak ternilai. Tiada lagi warden yang akan mendenda Cuma yang ada felo dan Ahli Jawatankuasa Kebajikan Siswa/wi (JAKSA) yang akan sekali sekala memeriksa unit-unit kolej kediaman. Pulang lewat di waktu malam pun paling teruk hanya menulis nama di pondok keselamatan. Soal pakaian pun tiada sebarang sekatan selagi tidak melanggar etika sepatutnya. Disebabkan kebebasan inilah, aku bersyukur kerana aku datang dari SMAKJ. Sekian lama di situ aku belajar mengenai adab dan peraturan. Bukanlah bermaksud aku skema semasa di sekolah, tapi jati diri itu dibentuk ketika di sekolah. Ketahanan diri menghadapi godaan di dunia luar telah dilatih secara tidak langsung di SMAKJ. Aku tahu dunia luar dipenuhi ujian dan cabaran. Bagi seorang pelajar sekolah agama, aku tahu masyarakat memandang tinggi pada status itu. Bukanlah kita perlu berpura-pura di hadapan mereka tapi sekurang-kurangnya kita tidak menjadi fitnah pada agama. Sesuatu yang aku pelajari, akhlak itu bukanlah ilmu kerana jika ilmu ia boleh dipelajari. Ia satu disposisi dalaman. Mengikut teori Freudian, personaliti diri kita ditentukan oleh masa lalu. Aku sedikit bersetuju dengan pendapat itu. SMAKJ pernah mendidikku, mengajariku erti hidup dan mempengaruhi personaliti ku. Itu hanyalah pendapatku, mungkin tidak semua akan bersetuju dengan kata-kataku. Tidak mengapa!

::Bahagian 2::

Di sini, aku hanya ingin menyingkap pengalamanku bersama kalian, rakan -rakan seperjuangan yang kukasihi. Kalian penyeri hidupku. Insan-insan penting yang amat bererti dalam kehidupanku. Terima kasih atas segalanya dan maafkan aku andai antara kita pernah ada sesuatu yang tidak menyenangkan. Walau di mana kalian berada kini, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan untuk semua. Bertemu dan berpisah ketentuan Ilahi. Moga bertemu dalam mawaddah berpisah dalam mahabbah.

Tingkatan 1 (2000)

Saat mula melangkah ke SMAKJ. Perjalanan baru bermula. Aku begitu teruja memasuki sekolah baru ini. Saban hari aku melewatinya tapi hari ini akulah warganya. Lima tahun akan ku berada di sini. Terasa lama sungguh lima tahun itu kan berakhir pada mulanya bagi seorang junior.

Aku berjalan bersama ayah ke Dewan Harun ar-Rashid. Penatnya! Pelajar tingkatan satu yang pertama ku temui, seorang lelaki berkaca mata tebal berbingkai merah (tidak silap aku) nampak pendiam. Aku percaya aku akan mengenali dia tidak lama lagi. Selesai pendaftaran aku perlu ke Asrama Puteri (Aspuri). Seingat aku, dorm yang aku duduki ialah K206. Ada seorang senior tolong mengangkatkan beg ku. Aku memilih katil di tepi tingkap atas kakak senior itu tadi. Kak Ad nama panggilannya. Dalam hati aku rasa tidak seronok kerana perlu memanjat tangga untuk tidur. Hari orientasi berlalu dengan seronoknya. Aku memenangi pertandingan pidato yang bertajuk “Andai Saya Seorang Jutawan”. Ada main ‘checkpoint’ untuk mengenali tempat-tempat di sekolah. Paling aku tidak suka, mengumpulkan tanda tangan senior. Macam-macam kehendak mereka, menyanyilah, belanja makan..geram dipermainkan! Di situ juga aku tahu satu lagu..(lupa pula tajuknya!) bait-bait lagu masihku ingat, begini...

“anak kecil main api..terbakar hatinya yang sepi..
air mata darah bercampur keringat..bumi di pijak
milik orang”

Kelas ditentukan melalui ujian. Aku ditempatkan di Kelas 1 Ibnu Qayyim. Teringat pertama kali dimarahi Cikgu Huda kerana berbuat bising. Terus aku menganggap cikgu ini garang orangnya. Pertama kali sekelas dengan semua perempuan memberi pengalaman baru padaku. Bebas untuk bercakap, bergerak dalam kelas tapi bila tiada guru bingit sungguh suasananya. Itu kurang menyelesakan aku apabila ingin belajar.

Aku juga mengenali ramai kawan perempuan. Seingat aku Nurul Jannah Badrul Hisham agak popular pada masa itu. Aku tidak tahu kenapa namanya menjadi sebutan. Mungkin kerana kakaknya ada si situ atau dia mempunyai keistimewaan tersendiri?

Di kelas aku duduk bersebelahan Siti Nurlela Mohamad Radzi. Dia agak pendiam. Aku susah untuk memulakan perbualan dengannya pada mulanya. Akhirnya dia boleh didekati. Di belakang aku, Nur Farahnadiah Abdul Faruk Khan dan Noor Hidayah Jaafar. Kami berempat sangat rapat di kelas. Aku pernah melanggar peraturan sekolah. Aku membaca novel yang dipinjamkan oleh Lela. Sekali lagi menurut Freudian, personaliti kita terdiri dari Id, Superego dan Ego. Id adalah seperti nafsu, mencari keseronokan tanpa mempertimbangkan akibat perbuatan. Superego berfungsi untuk mempertimbangkan moral kita, seperti naluri yang memberitahu baik atau buruk sesuatu perbuatan dan Ego bertindak seperti akal yang rasional. Disebabkan id, aku berani membaca novel cinta tersebut. Memang seronok sangat! Tak silap tajuknya, “Bila Sena Kembali Berbunga”, betul tak Lela?! Novel cinta sesuatu yang terlarang di SMAKJ. Mungkin kerana tidak mahu pelajar leka maka sekolah mengharamkannya. Sekarang ini, aku kurang menggemari novel cinta kecuali yang berunsur islamik. Tentu kalian pernah mendengar Novel Ayat-Ayat Cinta? Itu kesukaanku kini..

Pelajaran yang ku ingati ialah subjek Khat. Tiap kali subjek ini aku mengeluh lantaran sukar menulis seperti yang diajari Ustaz Maskon. Keras sungguh tangan ini, bak kata Ustaz, “tangan tak bedung!”. Nak membentuk “tenuk” pun tak menjadi. Payah benar! Namanya pun Seni Khat. Namun aku kagum pada pelajar-pelajar lelaki yang tangan nampak kasar tapi bila menulis menjadi dan indah hasilnya. Mungkin itu kelebihan yang Allah beri pada mereka.

Kehidupan di sekolah makin melelahkan. Keseronokan pada mulanya bertukar menjadi kesedihan. Jadual yang padat, makanan Pak Kabir dan suasana asrama tidak menyelesakan aku. Cuma satu yang menenangkan ialah saat berada di musolla. Di situ ku temui ketenangan. Sesi tazkirah selepas maghrib banyak membantu ku menambah ilmu agama. Peringatan yang diberi menguatkan jati diri ku. Kak Aisyah Sujud, ketua MPP banyak memberi inspirasi, begitu juga dengan senior yang lain. Aku mengagumi dua kakak senior ini, peribadi mereka nampak unggul di mataku. Kak Aisyah Sujud dan Amal Hayati. Ciri-ciri seorang muslimah solehah ada pada mereka. Tekananku berkurangan bila belajar mendekatkan diri pada Tuhan. Di sinilah aku belajar hidup beragama. Aku bersyukur kerana berada di sini. Alhamdulillah..

Kehidupan sosial dengan lelaki sangat terbatas. Aku hanya mengenali rakan lelaki sekelas apabila menghadiri sekolah agama di waktu petang. Pelajar lelaki yang aku lihat pertama kali tempoh hari merupakan kawan sekelas. Muhammad Riddha Abdul Rahman namanya. Dilantik menjadi pengawas. Memang ada ciri-ciri pelajar yang pandai. Kemudian merupakan rakanku dari tingkatan satu hingga lima. Nama-nama seperti Hashidee dan Hakimin juga menjadi sebutan. Mengapa ye?

Senior menerapkan budaya menundukkan pandangan pada kami. Hinggakan apabila berjumpa lelaki seboleh mungkin menjarakkan diri sejauh mungkin. Rasa malu apabila melihat wajah lelaki ajnabi. Pernah aku terlanggar tong sampah lantaran menundukkan muka. Untuk bertanya pun sangat susah. Bertolak-tolak menyuruh kawan bertanya. Itulah muslimat SMAKJ. Saat itu terdengar pelajar lelaki menegur, “suara itu aurat!” pada muslimat yang bising di dalam kelas. Itulah bi’ah di sekolah saat itu. Namun, makin lama budaya itu kian pudar. Teringat kata-kata, (lupa sumbernya!) “apabila kamu tidak malu buatlah apa sahaja” dan “malu dari lelaki itu baik tetapi malu daripada perempuan itu adalah lebih baik”.

Begitulah awal zaman persekolahanku..di bumi kecil bernama SMAKJ. Bukan sekadar menimba ilmu tetapi lebih dari itu..

Inilah sekadar yang mampu aku titipkan. Terlalu panjang jika satu persatu ingin dicoretkan.

Imbasan ini hanyalah untuk meluahkan kerinduanku pada zaman persekolahan, di mana aku bermula. Anda yang membacanya tentu mempunyai kisah tersendiri, bukan? Pastinya lebih menarik! Jom berkongsi...

Sambungan ke bahagian seterusnya jika ada masa terluang...

Nukilan terpelihara,
Atthiah©11 Syawal 1429H