Thursday, February 19, 2009

TUGAS BARU - LAIN DARIPADA YANG LAIN

Assalamualaikum..


Kata sibuk tapi masih sempat posting sesuatu untuk blog tersayang ni.. kata hati kecilku...


Seperti yang saya katakan, ada suatu tarikan yang menyebabkan saya masih sempat meluangkan masa menulis blog.. bak kata seseorang, hanya orang yang sibuk je ada masa! hari ini dalam sejarah hidup saya, 19 Feb 2009...


Alhamdulillah..tanpa disangka-sangka sesuatu yang tak pernah dijangka oleh saya sendiri.. Saya terpilih menjadi DJ Radio USIM.. Saya di antara 20 pelajar yang terpilih dalam ujibakat minggu lalu.. Hari ini saya telah menandatangani surat akujanji untuk bertugas sebagai DJ selagi mana tidak melanggar mana-mana peraturan universiti. Tiga bulan diberi untuk menilai prestasi.
Layari http://radio.usim.edu.my


Bagaimana ia bermula?


Saya pernah meminati bidang komunikasi. Bagi saya komunikasi adalah suatu seni. Ia bukan sekadar bercakap tetapi menyampaikan mesej melalui pelbagai cara yang dapat diterima oleh penerima. Bahasa isyarat, bahasa tubuh juga adalah komunikasi.. Ketika ingin menukar kursus saya memberi dua pilihan pada diri sendiri samada komunikasi atau kaunseling.. akhirnya kaunseling menjadi keutamaan saya. Teringat Pn Reen berkata suatu ketika dulu, "awak hanya boleh pilih salah satu!" Saya meminati komunikasi juga hinggakan selalu berangan jadi pengacara TV. Apabila disuruh membaca saya suka membuat lenggok sendiri, saya sukakan kelainan..


Akhirnya apabila ada ujibakat radio saya beranikan diri untuk mencuba, saya teringin masuk konti radio. Walaupun suara saya ketika itu agak sengau disebabkan hidung tersumbat saya tak kira, saya tetap nak! Masih ada yang menyokong saya dari belakang... Gementar! itu perasaan bila berhadapan dengan penemuduga tapi apapun saya cuba menunjukkan ekspresi muka yang meyakinkan walaupun dalam debaran lantaran saya adalah orang pertama untuk sesi hari itu.


Tengahari tadi saya diberi taklimat mengenai penggunaan kelengkapan di konti radio bersama seorang rakan DJ yang baru dikenali, Haziq. En Shaiful sebagai penerbit bersungguh-sungguh memberi penerangan dengan ditemani Pn Kareela. Canggih! itulah yang dapat saya katakan dalam satu perkataan! Saya sangat kagum dengan kesungguhan pihak fakulti menyediakan pelbagai kelengkapan untuk kami, para pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan khususnya dalam mendalami bidang kami. Pelajar Kaunseling dan Komunikasi seharusnya bersyukur dan memanfaatkan setiap peluang yang ada. Menurut En Shaiful, kemudahan radio kami setanding denagn radio-radio yang terkenal di luar sana..


Semestar ini saya penuhi kehidupan dengan pelbagai aktiviti, semuanya empat perkara yang berbeza tapi ia melengkapkan keinginan saya.. di samping belajar saya terlibat dengan JAKSA-Jawatankuasa Kebajikan Asrama Siswa/wi sebagai exco Biro Sukan dan Rekreasi. Lagi, Kelab Pembimbing Rakan Universiti sebagai AJK Kelompok Akademik, dan yang terbaru lagi terkini DJ Radio USIM. Memang padat kan?


Soal pengurusan masa adalah penting..bagi saya pelajaran adalah yang pertama tapi saya ada terasa sedikit ketidakseimbangan yang berpunca dari soal diri yang tidak berdisiplin. Jangan terkorban pelajaran, exam, assignment semata-mata kerana perkara yang kurang penting, pesan saya pada diri sendiri. Sikap ingin mencuba pada diri saya memang tinggi tapi saya tetap seorang manusia yang ada sifat lemah. Ada perkara yang perlu saya lepaskan dan ada yang perlu dipegang kemas agar tidak terlepas..


Subhanallah, Tuhan yang Maha Bijaksana.. Dia mencipta akal yang sangat hebat.. Jadi gunakan kehebatan akal kita untuk merangsang diri menjadi seorang yang hebat! Anda dan saya adalah manusia yang hebat kerana anda dan saya ada akal.. dan tambah kesyukuran kita itu dengan menghargai nikmat iman dan menjadi seorang Muslim..


Wassalam..

Monday, February 16, 2009

KESIBUKAN YANG TAK SUDAH

Assalamualaikum..
Lama sungguh menyepi dari menulis sesuatu di dalam blog ini. Kesibukan yang tak sudah, alasan semata-mata.. Ada suatu tarikan yang menyebabkan kesibukan yang ditempuhi masih memberi ruang untuk menulis sesuatu.. buat catatan peribadi seorang manusia..

Semalam seorang kakak serumah sakit gastrik yang sangat teruk. Mula-mula ok dan boleh bercakap, bila saya menegurnya dia diam, saya fikirkan dia tertidur di meja belajarnya lantaran akan menghadapi peperiksaan pada keesokan pagi. Tiba-tiba dia menangis teresak-esak. Saya keluar dari bilik melihat dia sedang menahan sakit yang sukar ditahan. Kami serumah bimbang dan dalam kepayahan kami menukar pakaiannya yang terkena muntah. Lantas, jiran kami membantu menghantar ke klinik panel. Saya hanya mampu memberi semangat padanya untuk terus bertahan sepanjang perjalanan ke klinik.

Kami sampai ke klinik dalam pukul 11 malam. Keadaannya yang tidak mampu berjalan dengan baik memerlukan kami memapahnya. Rasa sakit itu tidak berkurangan lagi. Apabila bertemu doktor kami kecewa denagn perkhidmatan yang diberikan. Doktor memberi suntikan dan ubat gastrik. Dia hanya menyuruh kami pulang. Kami tidak berpuas hati langsung.

Akhirnya denagn bantuan felo, kami mengikut pemandu ambulans ke Hospital Serdang. Walaupun jam sudah menunjukkan hampir jam 2 pagi, kami terus bertahan walaupun tugasan yang perlu dihantar esok pagi masih belum disiapkan. Kakak yang menemani pun tentunya risau kerana akan menghadapi peperiksaan esok pagi. Keputusan dibuat, dua daripada kami harus menunggu pesakit di Hospital Serdang. Saya pulang seorang bersama pemandu. Risau juga di hati ini mengenangkan keseorangan bersama dua orang lelaki. Jam 3.30 pagi saya tiba di rumah.

Niat di hati ingin bangun awal untuk menyiapkan tugasan tapi tuntutan mata harus dipenuhi. Akhirnya jam 8 saya baru bersiap ke kampus. Awal-awal lagi saya maklumkan pada Dr Saedah-pensyarah Kaunseling Keluarga agar kelewatan ini diterima.

Selepas kelas saya bergegas menyiapkan tugasan. Kasihan Amirul, rakan kumpulan saya yang ingin memindahkan maklumatnya ke komputer riba saya. Hilang segala dokumen, satu ujian lagi untuk menguji kesabaran..

NAMUN...

Saya belajar untuk menjadi seorang manusia. Jika mahu berehat, di syurga sahajalah kerehatan abadi. Selagi ada kekuatan teruskan berbakti dan inilah rupanya alam dewasa saya. Kerja takkan pernah habis namun jangan lupa kita kepunyaan Allah. Hak pada Allah, hak pada diri dan hak pada manusia lain perlu dilaksanakan..

Saya perlu merancang hala tuju kehidupan saya. Sokongan insan-insan tersayang amat diperlukan agar diri ini terus bersemangat meneruskan perjuangan. Mungkin perjuangan anda dan saya tidak sama, namun semoga matlamatnya tetap sama.

Moga bertemu kembali.